ciput - ciput mengusha

Showing posts with label Subjek Form 4. Show all posts
Showing posts with label Subjek Form 4. Show all posts

08 May 2011

Cerpen Ibu dan Ceper


Sinopsis

Kisah ibu tua yang disamakan dengan kisah sebuah sungai iaitu Sungai Ceper. Sungai Ceper ialah sungai yang jernih dan mempunyai sumber ikan dan udang, panjang dan berliku-liku, samalah seperti ibu yang sentiasa aktif melakukan aktiviti bersawah. Pada waktu malam, Sungai Ceper masih cergas tetapi ibu tidak. Pada sebelah malam, ibu berehat dan esoknya kembali cergas.

Pada suatu hari, Sungai Ceper melimpah kerana hujan turun di hulu. Airnya likat dan melimpah menyebabkan sawah padi musnah. Pada tahun itu, semua penduduk kampung makan ubi gadung kerana padi musnah. Selepas Ceper melimpahkan air, tiba pula musim kemarau. Sungai Ceper menjadi cetek, ikan mati, air sungai busuk dan sawah kering sehingga menyebabkan ibu menggunakan telaga sebagai sumber. Keadaan ini ialah keadaan 40 tahun yang lalu, iaitu semasa aku masih anak teruna dan ibu masih muda.
Kini, ibu dan ayah tiada lagi. Aku pula sudah bercucu. Sungai Ceper masih wujud tetapi sudah mula berubah sejak ibu terjatuh, lalu lumpuh kerana terpijak tunggul lama iaitu sepuluh tahun sebelum ibu meninggal. Pada masa itulah, keluarga aku menderita dan aku berkahwin dengan gadis di kampung itu. Bapa pula sudah tidak gila burung lagi sebaliknya dia hanya menjaga cucu dan menjaga ibu.

Ceper kini berbau busuk kerana menjadi tempat pembuangan sampah. Airnya mengalir lesu bersama-sama sampah sarap yang tidak sepatutnya dibuang ke dalam sungai itu. Aku dan isteri telah tua dan kini duduk di rumah menjaga cucu. Pada masa ini, Ceper telah mati dan tidak berfungsi lagi walaupun masih wujud, tidak seperti ibu yang telah tiada di dunia ini.

Tema

Kegigihan seorang ibu dalam mengharungi kehidupan

Ibu gigih mencari rezeki dan banyak bergantung kepada Sungai Ceper yang berfungsi sebagai sumber air kepada tanaman.

Persoalan

1. Persoalan kepentingan air dalam kehidupan.
Air Sungai Ceper yang deras dan jernih digunakan oleh ibu untuk mengairi sawahnya.
2. Persoalan kurangnya kesedaran masyarakat terhadap penjagaan alam sekitar.
Sungai Ceper tercemar teruk apabila manusia membuang segala macam sampah sedangkan sungai ini semakin cetek dan tidak berdaya membawa sampah yang ada di dalamnya
3. Persoalan kasih sayang yang terjalin antara manusia dan alam.
Kasih sayang aku kepada ibu dan sungai yang menjadi sumber air dan rezeki di kampungnya.

Plot

Binaan Plot

(i) Permulaan

Aku menerangkan perasaan sayang dan cinta akan Sungai Ceper dan ibu yang banyak berjasa kepadanya.Aku terkenang akan sungai ini yang jernih ,tenteram, deras dan menjadi lubuk ikan. Ibu juga seperti Ceper yang aktif bersawah dan bekerja. Namun, ibu berehat pada waktu malam manakala Ceper sama sahaja pada siang atau malam.

(ii) Perkembangan

Kemarahan ibu kepada Sungai Ceper yang melimpah akibat hujan lebat sehingga memusnahkan tanaman . Ibu juga memarahi sikap suaminya yang sambalewa terhadap tanggungjawab keluarga dan asyik dengan ketitir. Kemarahan ibu semakin memuncak apabila Sungai Ceper semakin cetek akibat kemarau. Hal ini menyebabkan sawah-sawahnya kering , sumber makanan dan minuman terjejas sehingga memaksa ibu menggunakan telaga sebagai sumber air. Setelah 40 tahun berlalu,Sungai Ceper semakin tercemar akibat pengabaian masyarakat. Ibu dan ayah sudah meninggal dunia dan aku telah pun berkeluarga dan mempunyai cucu.

(iii) Klimaks

Ibu meninggal dunia dan Sungai Ceper semakin sakit. Sungai ini semakin cetek, alirannya lambat dan banyak sampah daripada pelbagai bahan buangan berada di perutnya. Airnya busuk kerana bangkai binatang , kain-kain buru , plastik, dan sisa-sisa makanan dibuang ke dalamnya. Bapa juga telah meninggal dunia.

(iv) Peleraian

Sungai Ceper masih mengalir tetapi amat lambat. Keadaannya semakin parah. Aku dan isteri telah tua dan anak-anak pula menggantikan kami. Ceper dikatakan sudah mati kerana airnya sudah tidak bergerak dan timbunan sampah tindih-menindih. Ibu benar-benar telah mati tetapi Ceper walaupun masih wujud tetapi sudah tidak berfungsi lagi.

Teknik Penceritaan

1. Pemerian
Ceper pun serupa. .Ia memancutkan airnya begitu deras bagaikan anak panah yang baru saja lepas dari busurnya.Dan pancutan itu menebuk tebing hingga mencipta lubuk yang dalam-dalam, menyusur dasar bersama-sama ikan yang bercahaya matanya, bersama anak-anak dan bapa-bapa udang, bersama lumut yang lembut kehijau-hijauan dan bercahaya seperti manik-manik dipanah cahaya lampu.
2. Dialog
“Orang tak sedar diri. Tak tahu tanggungjawab. Air bah habis bunuh padi kita, awak masih cengkuih ketitir. Suami apa macam ini!”
3. Imbas Kembali
Aku masih ingat waktu itu ibu pun mengamuk juga.Dia marah sangat kepada Ceper sampai menyumpah-nyumpah kerana habis padi buntingnya mati lemas.

Watak dan Perwatakan
Watak Utama

Ibu

1. Cekap bekerja.
Ibu boleh melakukan sesuatu kerja dengan cepat bermula selepas Subuh sehingga hampir Maghrib, malah ibu melakukan hampir semua jenis kerja.
2. Rajin .
Ibu rajin membuat pelbagai kerja menggunakan tulang empat keratnya, tanpa bantuan suaminya yang menjadi kaki burung.
3. Bermasyarakat.
Walaupun ibu sibuk bekerja, dia tidak lupa untuk menghadiri kenduri-kendara di kampungnya dan menziarahi orang yang meninggal dunia.
4. Kuat semangat.
Walaupun Sungai Ceper telah memusnahkan padinya akibat banjir namun ibu tidak berputus asa untuk mengusahakan sawahnya semula.

Watak Sampingan
Aku

1. Anak tunggal dalam keluarga.
2. Mewarisi pekerjaan keluarga sebagai pesawah.
3. Sudah berumah tangga .
4. Penyayang.
Aku merupakan seorang anak yang penyayang kerana masih mengingati pengorbanan ibunya walaupun telah 40 tahun berlalu.
5. Bertanggungjawab.
Aku bertanggungjawab menjaga ibunya yang lumpuh dan ayahnya yang tua.

Latar

Latar Tempat
Sungai Ceper

1. Panjang, berliku-liku, jernih, pasir-pasir berbiji halus dan kelikirnya berkilat.
2. Sumber air bagi kehidupan di sekelilingnya.
3. Tercemar kerana menjadi tempat pembuangan sampah sarap.

Latar Masa

1. Masa kini - Aku telah tua, ada anak yang telah besar dan telah bercucu.
2. 10 tahun yang lalu setelah ibu jatuh, lumpuh dan meninggal dunia-ibu sudah tidak
dapat bergerak lagi dan kerja-kerja di sawah diteruskan oleh aku dan isteri.
3. 40 tahun yang lalu - Ketika ibu masih muda dan aku masih teruna.
4. Siang - sewaktu ibu turun mengerjakan sawah padinya.
5. Malam - gambaran tentang Sungai Ceper yang tetap cergas.

Latar Tempat

1. Di sebuah desa - tempat tinggal ibu, aku dan ayah.
2. Kawasan sawah padi - tempat ibu dan orang kampung bekerja.
3. Sebatang sungai - tempat anak-anak kampung merangau ikan.
4. Telaga - tempat ibu mengambil air ketika kemarau.
5. Rimba belantara - tempat bapa berdenak ketitir.
6. Sungai Ceper - tempat penduduk kampung termasuk ibu mendapat sumber air.

Latar Masyarakat

1. Masyarakat petani
Mereka mengusahakan tanaman padi secara tradisional. Keluarga aku mewakili sebahagian daripada anggota masyarakat yang mengusahakan tanaman padi secara tradisional seperti menajak dan menyisir selut.
2. Masyarakat yang menghadapi kepayahan hidup.
Penduduk di desa aku mengalami kesempitan hidup apabila Sungai Ceper melimpah kerana banjir dan airnya kering sehingga tidak dapat mengairi sawah ketika musim kemarau.
3. Masyarakat yang tidak bertanggungjawab.
Bapa sanggup menghabiskan masa mendenak burung ketitir di rimba sehingga mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarganya.

Gaya Bahasa

1. Kata ganda - kehijauan-hijauan
2. Simpulan bahasa - naik angin
3. Simile - Ibu tidak lagi cergas waktu malam kerana ibu tidur tergolek bagaikan batang pisang
4. Personifikasi - ….kudengar ngauman Ceper
5. Hiperbola - …Ceper yang memukul dan membedal tebing hingga runtuh tanah-tanah, hingga terbongkeh perdu-perdu buluh yang mengapuk tebing
Nilai
1. Nilai bertanggungjawab.
Sikap bertanggungjawab sebagai seorang ibu dan isteri yang ditunjukkan oleh ibu yang mengusahakan sawah padi bagi menampung kehidupan keluarganya.
2. Nilai kegigihan.
Walaupun terpaksa menggunakan tulang empat kerat, ibu tetap gigih bekerja menyara keluarga.
3. Nilai kesabaran.
Ibu terpaksa bersabar melayani kerenah suaminya yang kurang memberikan perhatian terhadap kebajikan keluarga.

Pengajaran

1. Kita hendaklah bertanggungjawab menyara kehidupan keluarga agar mereka tidak hidup dalam kesusahan.
2. Kita hendaklah menjaga kerukunan rumah tangga agar tidak berlaku perselisihan faham antara suami dengan isteri.
3. Kita mestilah menyayangi ibu bapa yang telah tua agar kebajikan mereka terpelihara.
4. Kita janganlah mencemarkan alam sekitar kerana perbuatan itu akan membawa keburukan kepada masyarakat.


Prosa Tradisional (Pelayaran Yang Penuh Peristiwa)


Sinopsis


Kisah bermula apabila Awang Sulung mengikuti pelayaran Tuan Puteri Dayang Seri Jawa dengan menaiki geliung (kapal) menuju dari Negeri Bandar Mengkalih menuju ke Negeri Semarang di Tanah Jawa. Geliung itu bergerak terlalu laju menyebabkan semua anak kapal mabuk-mabuk dan muntah-muntah lalu tidak sedarkan diri kecuali tiga orang iaitu Tuan Puteri Dayang Seri Jawa yang menggantikan jurumudi kapal, Si Kembang Cina, dan Awang Sulung Merah Muda yang menyamar sebagai budak comot dan hitam. Tuan Puteri Dayang Seri Jawa meminta Si Kembang Cina memanggil Awang Sulung menggantikannya sebagai jurumudi dengan memberi alasan bahawa dia sudah keletihan. Pada mulanya Awang Sulung tidak bersetuju tetapi setelah dipujuk dengan lembut akhirnya Awang Sulung mengambil alih tugas sebagai jurumudi. Anehnya, Awang Sulung tidak memegang kemudi sebaliknya menyeru geliung itu supaya belayar mengikut tiupan angin.

Setelah tiga hari belayar, geliung itu hendak berlabuh di Pulau Tapai untuk mengambil kayu api dan air tetapi gagal kerana laut bergelora. Sekali lagi Awang Sulung menggunakan kesaktiannya dengan mencampakkan tulang pelanduk putih menyebabkan air menjadi tenang. Setelah beberapa lama berlabuh barulah penghuni geliung tersedar daripada pengsan. Sebaik sedar, jurumudi menikam seekor ayam dengan kerisnya lalu pergi berjumpa Tuanku Nakhoda Tua dan menyatakan bahawa dialah yang telah menyelamatkan geliung itu daripada serangan Tuan Puteri Dayang Nuramah. Tuanku Nakhoda Tua percaya kata-kata jurumudi kerana sewaktu kejadian baginda juga pengsan. Geliung itu berlabuh selama tiga hari tiga malam di Pulau Tapai. Tuanku Nakhoda Tua telah berjanji akan mengahwinkan sesiapa sahaja yang berjaya membawa geliung itu selamat sampai ke Tanah Jawa dengan puteri baginda iaituTuan Puteri Dayang Seri Jawa.

Jurumudi menunjukkan rasa tidak senangnya terhadap Awang Sulung kepada Tuan Puteri Dayang Seri Jawa sebaliknya dia dimarahi oleh tuan puteri. Tuan Puteri Dayang Seri Jawa cuba menguji kehebatan Awang Sulung dengan menyuruhnya mengambil air dan mencari kayu. Perkara pelik dilakukan oleh Awang Sulung kerana dia mengambil air di tengah laut di tempat arus yang deras. Awang Sulung tidak mengambil kayu bakau dan temu laut seperti yang diminta oleh tuan puteri, sebaliknya mengambil batang nipah. Tuan Puteri Dayang
Seri Jawa memarahi Si Kembang Cina yang mengikut arahan jurumudi kerana memberikan sisa-sisa nasi di dalam tempurung berbulu kepada Awang Sulung sebaliknya Tuan Puteri memerintahkan Si Kembang Cina menyiapkan hidangan istimewa kepada Awang Sulung. Berlaku satu lagi keanehan apabila air masin yang diambil oleh Awang Sulung yang dimasukkan ke dalam buyung suasa bertukar menjadi air manis.

Semasa hendak meneruskan pelayaran, Tuanku Nakhoda Tua memanggil semua anak kapal memaklumkan bahawa mereka akan melalui kawasan Laut Sekona Lingga yang banyak lanun. Tuanku Nakhoda berjanji sesiapa yang dapat menyelamatkan baginda dan puterinya daripada serangan lanun, dia akan dikahwinkan dengan Tuan Puteri Dayang Seri Jawa. Semua anak kapal berasa takut, namun jurumudi telah mengambil kesempatan dengan menonjolkan diri bahawa dia yang akan melawan lanun-lanun itu. Semasa melintasi perairan Pulau Salah Nama, lanun menyerang. Anak-anak kapal termasuk jurumudi lari menyelamatkan diri. Tuan Puteri Dayang Seri Jawa meminta Awang Sulung menentang lanun tetapi Awang Sulung membuat helah mengatakan beliau tidak layak kerana kaki dan tangannya sakit. Apabila mendengar alasan itu, Tuan Puteri Dayang Seri Jawa menyuruh Si Kembang Cina memberikan limau selimpat pagar dan sabun wangi untuk Awang Sulung mandi. Selepas mandi dan memakai persalinan pakaian pusaka tua warisan bonda dan menyisip keris serta menyarung pedang sakti, terserlahlah ketampanan Awang Sulung.

Semasa lanun-lanun cuba menaiki geliung, Awang Sulung melaungkan nama-nama ketua lanun dan menyindir mereka supaya menawan Tuan Puteri Dayang Seri Jawa. Mendengar suara Awang Sulung, lanun-lanun itu ketakutan kerana mereka mengenali Awang Sulung dan berjanji untuk menyelesaikan hutang Awang Sulung kepada Datuk Batin Alam dan Tuan Puteri Dayang Seri Jawa. Geliung itu telah dipenuhi dengan wang batu dan wang emas. Setelah menyelesaikan semua hutang, Awang Sulung berhasrat untuk pulang ke Bandar Mengkalih menyebabkan Tuan Puteri Dayang Seri Jawa sedih dan mengambil tindakan untuk terjun ke laut tetapi sempat dihalang oleh hulubalang yang ada di situ. Tuan puteri pengsan tetapi sedar apabila mendengar Awang Sulung berpantun dengan Si Kembang Cina lalu tuan puteri berbalas pantun pula dengan Awang Sulung. Setelah dijamu makan dan minum serta memenuhkan geliung dengan wang, lanun-lanun itu kembali ke bahtera masing-masing. Selepas lanun-lanun itu pergi, jurumudi membuat helah sekali lagi dengan mengaku dirinyalah yang menyelamatkan geliung itu daripada serangan lanun kepada Tuanku Nakhoda. Dia menunjukkan kerisnya yang berdarah selepas dia menikam seekor ayam. Tuanku Nakhoda Tua percaya penipuan jurumudi dan memerintahkan Mualim Cik Mas menikahkan puterinya dengan jurumudi itu. Tuan Puteri Dayang Seri Jawa begitu geram dengan tindakan ayahandanya yang tidak usul periksa. Apabila mengetahui perkara sebenar Tuanku Nakhoda Tua memohon maaf kepada Awang Sulung yang juga berketurunan raja dan mengahwinkannya dengan tuan puteri.

Beberapa hari selepas mereka berkahwin, geliung meneruskan pelayaran merentasi beberapa pulau sehinggalah sampai ke Negeri Pati Talak Terangganu. Awang Sulung dijemput naik ke darat oleh raja negeri tersebut. Semasa naik ke darat Awang Sulung ditemani oleh jurubatu dan Bujang Selamat. Mereka membawa bersama ayam Awang Sulung yang bernama Kinantan Suci. Kedatangan Awang Sulung ke Negeri Pati Talak menimbulkan kehairanan rakyat negeri tersebut apabila segala alat kebesaran dan seluruh isi alam berbunyi . Awang Sulung meminta kebenaran daripada raja untuk menyabung ayam. Pada peringkat awal pertarungan, Kinantan Suci hampir tewas tetapi setelah diseru oleh Awang Sulung ayam itu berjaya menaji ayam lawan sehingga terputus kepala. Selesai menyabung ayam barulah Awang Sulung naik ke balairung seri, disambut oleh pembesar dan rakyat negeri itu.

Tema

Kelebihan dan kehebatan anak raja
Awang Sulung Merah Muda digambarkan memiliki kelebihan dan kehebatan seperti boleh menggerakkan geliung tanpa memegang kemudi, menenangkan air laut dengan mecmpakkan tulang pelanduk putih, menukarkan air laut yang masin menjadi manis, semasa ketibaan Awang Sulung ke Negeri Pati Talak Terengganu, alat-alat kebesaran dan seluruh isi alam berbunyi seolah-olah menyambutnya . Satu lagi kelebihannya, ketika ia menyeru ayamnya Kinantan Suci yang hampir tewas semasa menyabung sehingga akhirnya dapat mengalahkan lawannya, Si Jalak .

Persoalan

1. Persoalan cinta tidak mengenal rupa paras.
Tuan Puteri Dayang Seri Jawa jatuh hati kepada Awang Sulung kerana melihat kelebihan yang dimiliki oleh Awang Sulung walaupun ketika itu Awang Sulung comot dan hitam.

2. Persoalan perasaan dengki dan iri hati
Jurumudi sangat dengki kepada Awang Sulung yang mendapat layanan yang baik daripada Tuan Puteri Dayang Seri Jawa sehingga sanggup menyuruh Si Kembang Cina memberi sisa-sisa nasi di dalam tempurung berbulu kepada Awang Sulung.

3. Persoalan kewibawaan dan pengaruh yang kuat
Lanun-lanun tidak berani menyerang geliung yang dinaiki Tuan Puteri Dayang Seri Jawa apabila mendengar suara Awang Sulung Merah Muda.

4. Persoalan menipu untuk mencapai sesuatu tujuan
Jurumudi menipu Tuanku Nakhoda Tua dengan mengatakan dialah yang menyelamatkan geliung daripada serangan Tuan Puteri Dayang Nuramah dan daripada serangan lanun dengan menunjukkan keris yang berdarah ayam. Tujuannya supaya dia dapat berkahwin dengan Tuan Puteri Dayang Seri Jawa.

5. Persoalan menghormati tetamu
Awang Sulung disambut oleh pembesar istana dan rakyat Negeri Pati Talak Terengganu semasa naik ke balairung seri.

Watak dan Perwatakan
Watak Utama

Awang Sulung Merah Muda
 Berasal dari Negeri Bandar Mengkalih
 Anak kepada Tuanku Si Helang Laut
 Cucu kepada Tuanku Si Helang Mawai
 Menyamar sebagai budak hitam yang comot dan hodoh di geliung Tuan Puteri Dayang Seri Jawa
 Berwajah tampan – setelah mandi dengan menggunakan limau selimpat pagar dan sabun wangi terserlahlah ketampanannya .
 Memiliki keris dan pedang sakti Memiliki gigi yang cantik bercahaya
 Berhutang dengan Nakhoda Tua dan Datuk Batin Alam
 Berkahwin dengan Tuan Puteri Dayang Seri Jawa
 Ditakuti lanun
 Memiliki pelbagai kesaktian – Dia dapat menenangkan air laut yang bergelora, menukarkan air masin menjadi manis dan tidak perlu memegang kemudi untuk menggerakkan geliung.
 Patuh kepada peraturan - Dia meminta Bujang Selamat bertanyakan adat bergelanggang sebelum menyabung ayam.
 Merendah diri – apabila disuruh mengemudi geliung menggantikan Tuan Puteri Dayang Seri Jawa dia mengatakan sekiranya berada di daratan bolehlah dia menjadi penghalau ayam, penunggu itik atau tukang sapu rumah .
Watak Sampingan
Tuan Puteri Dayang Seri Jawa
 Anak Tuanku Nakhoda Tua
 Mengemudi geliung setelah jurumudi pengsan
 Mudah jatuh cinta - Jatuh hati kepada Awang Sulung Merah Muda setelah melihat kelebihan dan kehebatan Awang Sulung
 Suka menguji - dia menguji kelebihan Awang sulung dengan menyuruhnya mengambil air
 Prihatin - Marah apabila Si Kembang Cina memberi sisa-sisa nasi dalam tempurung berbulu dan ketika jurumudi dengki kepada Awang Sulung
 Sensitif – dia cuba membunuh diri hendak terjun ke laut apabila mendengar Awang Sulung hendak kembali ke Bandar Mengkalih.
Jurumudi
 Jjurumudi geliung yang dinaiki Tuan Puteri Dayang Seri Jawa
 Penipu - Menipu Tuanku Nakhoda Tua bahawa dialah yang telah menyelamatkan geliung dengan menunjukkan keris berdarah
 Pendengki – Dia berasa dengki kepada Awang Sulung
 Pengecut - Lari menyelamatkan diri semasa serangan lanun
Tuanku Nakhoda Tua
 Ayahanda kepada Tuan Puteri Dayang Seri Jawa
 Mudah terpedaya – terpedaya dengan penipuan jurumudi.
 Insaf - berasa kesal dengan kesilapannya yang memandang rendah kepada Awang Sulung
 Menepati janji - Dia mengahwinkan puterinya dengan Awang Surung Merah Muda yang berjaya menyelamat baginda dan puterinya daripada serangan lanun.
Si Kembang Cina
 Orang suruhan Tuan Puteri Dayang Seri Jawa
 Taat perintah – Taat akan suruhan Tuan Puteri Dayang Seri Jawa
 Pandai memujuk – Dia memujuk Awang Sulung sehingga bersetuju untuk mengemudi geliung

Latar

Latar Tempat

Geliung panjang
 Tuan Puteri Dayang Seri Jawa belayar menaiki geliung panjang dari Bandar Mengkalih menuju ke negeri Semarang di Tanah Jawa.
Pulau Tapai
 Tempat Geliung berlabuh di Pulau Tapai untuk mendapatkan kayu dan air. Pada mulanya geliung tidak boleh berlabuh kerana laut bergelora. Awang Sulung menggunakan kelebihannya dengan mencampakkan tulang pelanduk putih yang diikat dengan benang banyak warna. Akhirnya air laut menjadi tenang dan geliung dapat berlabuh.
Pulau Salah Nama
 Sekumpulan lanun menyerang geliung di Pulau Salah Nama. Anak-anak kapal lari menyelamatkan diri termasuk jurumudi. Tuan Puteri Dayang Seri Jawa meminta bantuan Awang Sulung menentang lanun.
Negeri Pati Talak Terangganu
 Awang Sulung menyabung ayamnya Kinantan Suci .
Latar Masa
 Tiga hari tiga malam semasa geliung berlabuh di Pulau Tapai.
 Waktu siang - ketika anak-anak kapal mencari kayu api dan air di pulau.
Latar Masyarakat
 Golongan bangsawan – Awang Sulung, Tuan Puteri Dayang Seri Jawa, Tuanku Nakhoda Tua, Tuan Puteri Pinang Masak, Raja Negeri Pati Talak Terengganu.
 Golongan bawahan – anak-anak kapal
 Masyarakat lanun yang melakukan rompakan di laut
 Golongan taat kepada perintah – Si Kembang Cina dan Bujang Selamat taat akan perintah Tuan Puteri Dayang Seri Jawa dan Awang Sulung Merah Muda.
 Masyarakat penipu – jurumudi menipu Tuanku Nakhoda Tua bahawa dialah yang telah menyelamatkan geliung dengan menunjukkan keris berdarah
 Masyarakat yang suka menyabung ayam - Awang Sulung Merah Muda menyabung ayam dan rakyat Negeri Pati Talak Terengganu

Gaya Bahasa

 Bahasa klasik – geliung
 Bahasa istana - beta, santap, kakanda, ayahanda
 Peribahasa – enau mencari sigai, dan lesung mendapatkan antan, berkecil hati
 Simile – bagai pucuk dilancarkan, bagai air di kuali, bagai purnama empat belas har ibulan, bagai kilat sembur-menyembur
 Puisi : Pantun :
Bintang tujuh tinggal enam,
Jatuh satu ke Gunung Daik;
Bercahayalah sepuh hilang senam
Itulah tanda emas yang baik.

Seloka:

Nobat merpati di gunung,
Memberi salam murai di pintu,
Berbega burung di bumbungan,
Berkokok si tambang denak,
Membalas kinantan suci,
Bertutu ketitir jantan,
Berkokok balam tembaga tiga gaya,
Berbunyi sekalian bunyi-bunyian.

Nilai

 Nilai merendah diri – contohnya Awang Sulung yang berketurunan raja sanggup menyamar sebagai budak hitam yang comot
 Nilai keyakinan – contoh Tuan Puteri Dayang Seri Jawa sanggup mengambil alih mengemudi kapal sewaktu jurumudi pengsan
 Nilai berani – contoh Awang Sulung berani menentang lanun yang cuba menyerang geliung kenaikan Tuan puteri Dayang Seri Jawa.
 Nilai kasih Sayang – contoh Awang Sulung dengan Tuan Puteri Dayang Seri Jawa saling menyayangi selepas berkahwin.
 Nilai bertimbang rasa- contohnya Awang Sulung membantu Tuan Puteri Dayang Seri Jawa mengemudi geliung.
 Nilai keinsafan – contoh Tuanku Nakhoda Tua insaf dan memohon maaf atas kesalahan kepada Awang Sulung.
 Nilai rasional – contoh Tuanku Nakhoda Tua sanggup menerima pandangan puterinya agar tidak terpengaruh dengan kata-kata jurumudi.
 Nilai hormat kepada raja – contoh lanun tidak menyerang geliung setelah mendapati Awang Sulung berada di atas geliung tersebut.

Pengajaran

 Kita hendaklah sentiasa merendah diri di mana-mana sahaja kita berada supaya kita akan dihormati.
 Kita hendaklah berani menghadapi pelbagai rintangan demi mencapai matlamat.
 Kita hendaklah bijak agar dapat menyelesaikan sesuatu masalah yang timbul.
 Kita hendaklah bersedia memberi bantuan terhadap orang yang memerlukan pertolongan.
 Kita hendaklah berani mengaku kesalahan yang dilakukan agar tidak menimbulkan kekesalan pada masa hadapan.



01 May 2011

Tutorial for those yang tak paham pasal MOLECULAR and EMPIRICAL FORMULAR





aku tgk pon . boleyla pham la jugak an , drpd x paham langsung

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...